ANAK TITIWANGSA
Anak Titiwangsa adalah sebuah karya yang ditulis oleh Sasterawan Negarawan Pertama negara kita, Keris Mas ataupun nama asalnya Kamaluddin Muhammad.
Buku ini ditulis oleh beliau semasa beliau masih bekerja di DBP pada tahun 1967. Buku ini mempunyai 169 halaman bagi keluaran DBP (Edisi Kedua, 2010)
Sinopsis daripada sebuah karya ini adalah untuk memastikan pembaca menghayati kisah perjalanan hidup seorang remaja yang sedang membesar dalam mengenal erti kehidupan yang sebenar.
Watak yang dimainkan adalah Sudin dan Karim. Mereka adalah dua orang sahabat yang akrab hubungannya. Mereka berasal daripada kampung yang sama, membesar dan melakukan aktiviti bersama. Walau bagaimanapun, Sudin dan Karim mengalamai dua nasib yang berbeza.
Sudin ditulis sebagai seorang anak muda yang memiliki cita-cita untuk menjadi seorang petani moden. Hal ini demikian kerana, Sudin ingin menjadi seperti seorang idolanya, Francisco Rabat.
Karim pula berbeza dengan Sudin. Kehidupan Karim tidak menentu kerana perpindahannya ke ibu kota telah menyebabkan jalan hidupnya berliku dan tidak mampu untuk melawan godaan-godaan di Kuala Lumpur. Disebabkan oleh itu, dia terus terjerumus dengan aktiviti masiat dan jenayah.
Dua sahabat berjalan di lorong berbeza, maka mereka pun menjalankan kehidupan yang berbeza. Sudin sangatlah bernasib baik kerana dia tinggal bersama pak ciknya, maka Sudin sering diajar untuk menjadi seorang yang berdisiplin dan menjadi orang yang baik.
Manakala, Karim pula, tersalah memilih kawan sehinggan dia sering melakukan jenayah dan menyebabkan dia tidak mendapat ketenangan dalam hidup.
Maka daripada pernyataan di atas, jelaslah sudah apa yang mahu disampaikan oleh penulis kepada kita. Bahawa, kita harus pandai memilih kawan dan mempunyai seseorang yang boleh membimbing kita ke jalan yang benar. Orang yang betul akan membawa kita ke jalan yang betul. Orang yang salah akan membawa kita ke jalan yang salah.
Maka daripada novel ini, kita haruslah sedar betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam mendidik anak mereka agar tidak terpesong. Selain itu, seperti pepatah yang baru sahaja saya menulisnya tadi, orang yang betul akan membawa kita ke jalan yang betul boleh digambarkan dalam sifat Sudin itu sendiri.
Karim sering melakukan kejahatan dan sudah jauh tersasar dari jalan yang benar, seperti tiada penyelamatnya lagi. Namun begitu, Sudin sebagai seorang rakan karib Karim tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang sahabat. Sudin menolong ibu bapa Karim mencari Karim yang sudah lama menghilangkan diri di Kuala Lumpur.
Sudin, telah mengorbankan masa dan tenaganya dalam berusaha membawa Karim ke pangkal jalan dan menjadi kehidupannya yang masih muda sebagai seorang manusia yang berguna.
Pencarian Karim, telah menyebabkan Sudin menjadi seorang yang lebih matang lagi, kerana dia telah banyak belajar dari keragaman kehidupan orang-orang yang ditemuinya.
Kesimpulannya, setiap sahabat kadangkala akan menjalani dua lorong yang berbeza, satu jalan cahaya, satu jalan kegelapan. Jika kita berada di jalan cahaya dan sahabat kita di jalan yang satu lagi, kita haruslah menjalankan tanggungjawab dan amanah kita sebagai seorang kawan untuk menarik semula kawan kita ke jalan yang benar.
No comments:
Post a Comment