Thursday, May 12, 2022

Usman Awang

 USMAN AWANG


     Dato Usman Awang ataupun dikenali sebagai Tongkat Warrant, ialah seorang Sasterawan Negara Malaysia. Beliau telah dianugerahi Darjah Kebesaran Dato' Paduka oleh Sultan Perak Daruk Ridzuan yang membawa gelaran Dato.

      Beliau dilahirkan pada tanggal 12 Julai 1929 Kota Tinggi, Johor, Malaysia British (kini Malaysia) dan meninggal dunia pada 29 November 2001 semasa beliau berumur 72 tahun. Allahyarham dikuburkan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

   Lahir di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor. Nama diberi adalah Wan Osman Wan Awang tetapi menukar namanya ke Usman Awang. Ibunya, Halimah meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Ayahnya pula bekerja sebagai seorang nelayan dan menjual rotan pada musim tengkujuh. 

    Usman Awang hanya menerima pendidikan sehingga darjah enam sahaja kerana kemiskinan hidup yang dialami oleh beliau. Beliau bersekolah di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dab Bandar Maharani (1940) hingga lulus Darjah 6.

    Beliau pernah menjadi buruh paksa Jepun selama 6 bulan di Singapura, ketika Jepun menjajah Malaya. Namun begitu, beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Sebelum memasuki Botai iaitu pasukan polis Jepun, Usman Awang pernah menjadi 'budak pejabat' di Pejabat Taliair Segamat. Semasa memasuki Botai, beliau menjalani latihan selama beberapa minggu sebelum Jepun menyerah kalah.

    Selepas Jepun menyerah kalah dan British mula menjajah Malaya sekali lagi, Usman Awang menjadi anggota polis dan menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka.

    Pada tahun 1951, beliau berhenti dan berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca pruf dan selepas enam bulan, beliau bekerja di Mingguan Melayu sebagai sidang pengarang. Pada tahun 1952, Usman Awang bekerja sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak. Selepas itu, beliau diangkat sebagai pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika. Selepas Malaya mendapat kemerdekaan, Usman Awang, berpindah ke Kuala Lumpur, kerana Utusan Melayu telah berpindah ke Kuala Lumpur. Pada tahun 1961, beliau terlibat dalam pemogokan Utusan Melayu dan menyebabkan beliau menganggur seketika.

    Pada tahun 1962, selama lapan bulan, Usman Awang bekerja di Penerbitan Federal. Kemudian, beliau berkhidmat sebagai sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka dan memegang jawatan sidang pengarang untuk majalah Dewan Bahasa. Selepas itu, beliau menjadi pengarang untuk majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya dan  menyandang jawatan Pegawai Penyelidik Kanan, pada Mei 1982 hingga bulan Julai 1985 sebelum beliau bersara.

    Selepas bersara, Usman Awang lebih aktif dalam beberapa pertubuhan masyarakat. Antaranya ialah Persatuan Persahabatan Malaysia-Cina. Beliau dilantik menjadi Ahli Jemaah Kolej Selatan pada tahun 1991. Beliau juga pernah menjadi seorang Penasihat Sastera Maybank dari tahun 1991 hingga 2001.

    Banyak sumbangan yang telah disumbangkan oleh Usman Awang semasa beliau masih hidup. Antaranya, beliau berjaya menghasilkan beberapa sajak yang cukup popular hingga kini seperti ' Ke Makam Bonda'. Beliau juga berjaya mengekalkan semangat dan harmoni pantun dalam sajak-sajaknya dengan menggunakan kata biasa dalam penulisannya dan menjalin kata-kata itu menjadi begitu indah. 

    Perwatakan peribadinya yang lemah lembut, mesra dan simpati terhadap orang yang susah daripadanya menyebabkan beliau menjadi tokoh yang menonjol. Perkara ini membuatkan Usman Awang adalah seorang seniman yang berjiwa rakyat.

    Usman Awang pernah diundang melawat Amerika Syarikat, Indoesia, Filipina, China dan Rusia sebagai salah seorang penyair terkenal dari Malaysia. Karya-karya beliau juga ada yang telah diterjemahkan ke beberapa bahasa. Seperti Bahasa Inggeris, Cina, Jepun, Korea, Perancis, Czechslovakia, Danish, Tamil, Rusia, Itali dan lain. 

    Semasa Panel Hadiah Karya Sastera, beliau dilantik menjadi salah seorang anggota dan menerima gelaran "Pejuang Sastera " pada 29 Mei 1976 oleh Perdana Menteri. Beliau pernah dilantik menjadi setiausaha, kepada Panel Anugerah Sastera, sebuah badan kehormat tertinggi di tanah air, disebabkan oleh ketokohan, pengalaman dan dedikasinya.

    Pada tahun 1982, Usman Awang telah menerima SEA Write Award dan Ijazah Doktor Kehormat (Pesuratan) oleh Universiti Malaya. Beliau menjadi penerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983. Pada tahun 1985, Usman Awang telah dianugerahi oleh Berita Harian dalam kategori Penulis Terkenal (Veteran). Pada tahun 1995, beliau diberi Anugerah Penyair Johor.

    Pada bulan Ramadhan, 29 November 2001, beliau menghidap penyakit jantung dan meninggal dunia. Sekolah Kebangsaan Dato Usman Awang di Johor telah dinamakan bersempena dengan nama beliau. Beliau dikuburkan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

                    

No comments:

Post a Comment

Apa yang telah saya pelajari.

  PERKARA YANG DIPELAJARI SEPANJANG 14 MINGGU PELAJARAN       Akhirnya ini merupakan blog terakhir saya sebagai pelajar penglahiran bakat kr...