ANGIN TIMUR LAUT
Buku Angin Timur Laut adalah sebuah buku yang ditulis oleh S.Othman Kelantan. Buku ini diterbitkan pada tahun 1969, buat kali pertama. Tema buku ini adalah, kehidupan susah yang dihadapi para nelayan pesisir pantai dalam meneruskan kehidupan. Buku ini juga membawa suara pelayan yang perit bergema tapi tidak kedengaran.
Watak utama Angin Timur Laut adalah Saleh. Saleh merupakan seorang bapa anak sepuluh. Sebagai seorang nelayan, antara cabaran yang harus dihadapinya adalah gelombang dan cuaca yang mencuri rezeki Selain itu, Saleh juga harus berhadapan dengan orang yang mulut manis tetapi memiliki hati syaitan. Hal ini demikian kerana, mereka menghulur wang sebagai hutang dan memaksa bayar dengan bayaran yang mencekik darah!. Saleh juga ditikam belakang oleh sahabat yang dia hormati. Di dalam kemiskinan hidup beliau, kawannya mencuri rezeki beliau. Bukan itu sahaja, sahabat Saleh juga melemparkan macam-macam tuduhan sehingga menambah tekanan buat beliau.
Saya berasa simpati dengan watak Saleh, kerana watak ini memang ditulis untuk dijadikan bahan dera oleh penulis. Banyak ujian dan cabaran yang diberikan kepada Saleh, namun begitu, Saleh dimainkan sebagai watak yang sabar dan tabah dalam menghadapi ujian ini. Hal ini boleh dibuktikan, bahawa Saleh sentiasa bersangka baik dalam apa jua keadaan.
Sabut adalah anak kepada Saleh. Sabut adalah seorang cacat yang hanya tahu makan, berak. Ruoanya seperti sabut sehingga dinamakan Sabut. Walaupun Sabut seorang yang cacat, Saleh masih menyayangi anaknya dan sentiasa mengingatkan dirinya bahawa doa anak cacat yang bernama Sabut itulah yang akan membantu keluarga mereka kelak.
Cerita penulisan ini banyak menggunakan metafora dan personifikasi yang cukup indah. Malah, ia mampu memberi kesan kepada pembacaan sehingga kita mampu merasai perasaan dan situasi yang dihadapi oleh watak tersebut. Salah satu petikan metafora yang menyentuh hati saya adalah "Nasinya yang bergantung di udara laut''. Ayat ini menyentuh hati saya, kerana Saleh adalah seorang nelayan dan harus menempuh lautan deras setiap hari. Saleh hanya mampu bergantung kepada cuaca dalam mencari rezeki. Jika cuaca baik, maka dia boleh turun ke laut, jika tidak, maka dia terpaksa duduk di rumah sahaja.
Buku ini memang melambangkan sebuah cerita lambang kemiskinan. Kerana banyak anak-anak yang kelaparan dan tidak cukup makan. Terdapat juga bahagian sindiran, apabila watak Saleh, mempersoal di dalam dirinya, mengapa harus mengundi jika tiada perubahan yang dilakukan. Hal ini disebabkan oleh nasib mereka masih begitu dan tidak berubah setiap tahun. Hanya orang-orang yang dipangkah sahaja akan mengalami perubahan hidup seperti kenaikan pangkat dan kekayaan. Nasib rakyat tidak berubah, walaupun sudah berzaman-zaman.
Golongan orang beragama juga tidak terkecuali, contohnya, Imam Ghani yang sudah berbini dua dan memiliki cucu masih lagi mahu meminang anak gadis Saleh, Leha yang masih berusia 14 tahun. Saleh juga memberi sindiran kepada orang tengah, pegawai kerajaan yang menguruskan makanan mangsa banjir. Banyak makanan yang disediakan, tapi ada hilang dan tidak cukup, rupa-rupanya sudah dijual.Aduhai.Malang sungguh Saleh ini. Mangsa akan terus menjadi mangsa. Mangsa juga sering didera dan dihimpit oleh kesusahan hidup.
Golongan yang dijadikan hero dan wira bagi Saleh adalah para tentera. Saleh sentiasa mendoakan para tentera ini menjadi seorang yang berjaya. Bagi Saleh, para tentera yang menyelamatkan mereka lebih baik daripada pegawai kerajaan. Tentera dikatakan mempunyai hati malaikat oleh Saleh, kerana mereka memberi mereka cukup makan selepas diselamatkan daripada banjir. Bukan itu sahaja, rumah Saleh yang musnah dihanyutkan banjir dibaiki oleh tentera. Para tentera juga memberi beras dan barangan keperluan yang lain.
Banyak lagi, yang boleh memberikan kesan kepada perasaan kita ketika membaca buku ini. Sememangnya plot kemiskinan dijadikan plot utama dalam cerita ini. Cerita ini juga menceritakan realiti yang dihadapi oleh rakyat kita sekarang. Jika kita hidup senang daripada mereka, maka bersyukurlah kerana bukan semua orang boleh menikmati apa yang dirasai oleh kita.
Kesimpulannya, Angin Timur Laut adalah sebuah buku yang menceritakan kisah kehidupan sedih dan mencabar oleh seorang nelayan dan sentiasa tabah menghadapi cabaran tersebut. Cerita ini juga menggambarkan tiga pandangan watak Saleh kepada orang tengah dan orang kerajaan, orang agamawan dan para tentera.
No comments:
Post a Comment