S.Othman Kelantan
Syed Othman bin Syed Omar al-Yahya, atau dikenali sebagai S.Othman Kelantan, merupakan seorang sasterawan negara Malaysia. Beliau dilahirkan pada 13 November 1939 di Kelantan Darul Naim.
Beliau menerima pendidikan di Universiti Sains Malaysia dan memperoleh Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83). Kemudian beliau menerima Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia, pada tahun 1994/1995.
Selepas lulus Ijazah Sarjana, selama dua tahun, beliau berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di fakulti Pendidikan/ATMA mulai tahun 1983. Beliau menyandang jawatan sebagai Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997.
Selepas persaraan beliau, S.Othman berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya selama dua tahun pada tahun 1997ke 1999. Selepas itu, beliau menjadi pensyarah sambilan di Pujangga Managament Institute iaitu salah satu francais UUM.
S.Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Beliau telah berjaya menghasilkan lebih 182 cerpen. Kebanyakan buku yang ditulis oleh beliau mempunyai persoalan yang yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, agama, politik dan falsafah. Sebanyak 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja telah berjaya dihasilkan oleh beliau.
Antara novel beliau yang terkenal ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Pewira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagagho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003). Bukan itu sahaja, beliau juga menghasilkan lima buah antalogi cerpen persendirian.
Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik berkaitan tentang kesusasteraan. Selain menulis cerpen dan novel, S. Othman Kelantan juga menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan dengan penulis yang hebat sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sebanyak 364 buah esei/kritikan telah berjaya beliau hasilkan.
S.Othman Kelantan juga melibatkan diri dalam persatuan penulis di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).
Kesungguhan dan dedikasinya dalam kerjaya beliau telah menyebabkan beliau dipilih untuk memenangi beberapa anugerah besar dalam hidupnya. Antara anugerah terbesar yang pernah dimenangi oleh beliau adalah S.E.A Write Awards (1990) dan Anugerah Sastera Negara (2003). Beliau pernah mengkritik keras pelaksaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris oleh pihak kerajaan, ketika menerima anugerah sasterawan negara dari Yang di-Pertuan Agong.
Pada 31 Julai 2008, 11.45 malam di Hospital Serdang, S.Othman Kelantan disahkan telah meninggal dunia kerana kerumitan serangan jantung. Sebelum itu, beliau sudah dirawat selama dua minggu di Hospital Serdang, kerana sakit jantung, paru-paru berair dan juga tekanan darah yang rendah. Jenazah beliau disimpan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi, Selangor.
No comments:
Post a Comment