Sunday, May 15, 2022

Pilihan Usia

 Pilihan Usia



        Pilihan Usia adalah sebuah puisi ditulis oleh Dato' Baha Zain yang merupakan Sasterawan Negara ke-12.

        Ulasan yang boleh diungkapkan daripada puisi ini sangatlah dalam kerana ia bertuju kepada pilihan yang akan kita pilih di saat usia kita yang berbeza peringkat.

Seperti yang ditulis dalam baris pertama hingga baris ketiga, penulis ingin memberitahu kepada pembaca bahawa usia lapan belas adalah usia di mana semua orang sedang mencari pasangan untuk dijadikan suami atau isteri. Namun begitu, mereka bukan mencari pasangan semata-mata tetapi juga cinta, kerana pasangan yang kekal adalah pasangan yang saling mencintai satu sama lain. 

Baris keempat ke baris kelima, penulis berkata di umur dua puluh dia tidak memilih angin tetapi memilih api. Hal ini demikian kerana, penulis tidak mahu jalan hidup yang terlalu mudah, sebaliknya baris ini menunjukkan bahawa penulis seorang yang suka akan cabaran. Di umur dua puluh hingga ke umur dua puluh sembilan adalah peringkat umur di mana, pemuda-pemudi akan memilih jalan sendiri untuk meneruskan hidup. Ada yang memilih angin kerana ingin buat kerja senang, ada yang pilih api kerana ingin mencabar hidup mereka untuk menjadi seorang yang lebih baik dan lasak.

Baris keenam hingga baris kelapan, penulis tidak mahu akan perubahan tetapi revolusi. Perubahan dan revolusi membawa maksud yang hampir sama tetapi sangat berbeza skalanya bagai langit dan bumi. Perubahan adalah perubahan skala kecil seperti tingkah laku, pemikiran dan tindakan. Revolusi adalah perubahan secara keseluruhan, contohnya kalau dahulu kita hidup susah kini kita hidup senang, ataupun jika negara Malaysia hanya menggunakan aktiviti sara diri dan buruh sebagai punca pendapatan negara, kini negara Malaysia menggunakan jentera moden dan revolusi sains dan teknologi dalam menjana pendapatan negara berlipat kali ganda. Perubahan pula, kalau dahulu kita malas kini kita rajin. Jika dikaitkan dengan isu negara pula, perubahan seperti perubahan kerajaan dan pemerintah di setipa Pilahan Raya Utama PRU.

Baris kesembilan ke baris kesebelas, penulis menyatakan bahawa ketika di umur ini, beliau memilih untuk memilih hidup yang sepi dan aman daripada hidup yang penuh keresahan. Perkara ini boleh diungkapkan dalam kehidupan harian manusia di dunia ini. Ketika kita berumur pertengahan 20an hingga ke umur 30an kita baru sahaja memasuki alam pekerjaan dan melatih diri kita menjadi lebih dewasa. Peringkat umur ini juga, kita akan mengalami banyak tekanan kerja selain daripada hutang-hutang yang perlu dibayar seperti sewa rumah, kereta, dan rumah, utiliti, barang dapur dan perbelanjaan harian, apa lagi jika kita tinggal di bandar, berkahwin dan sudah ada anak. Ketika berada di umur 40an, anak penulis mungkin sudah cukup dewasa untuk menjaga diri mereka, hutang-hutang juga sudah sama ada sudah habis dibayar atau tidak banyak lagi perlu dibayar. Peringkat umur 40an pula umur di mana penulis ingin mencari ketenangan dalam hidup dan lebih memilih kawasan yang sepi.

Bagi baris keduabelas hingga baris terakhir iaitu baris kelimabelas. Penulis menerangkan bahawa, peringkat dewasa adalah peringkat kita harus menerima apa yang ada dan apa yang sudah pasti menjadi milik kita mengikut kemampuan kita. Bukan lagi berkhayal di siang hari untuk mendapatkan sesuatu yang belum pasti atau di luar kemampuan kita seperti kita masih berada di zaman kanak-kanak. Kerana apabila kita di peringkat dewasa, kita akan sentiasa diisi dengan kesibukan dan kadangkala tidak cukup masa untuk meluangkan masa bersama orang tersayang. Banyak pengorbanan harus dilakukan. Selain itu, hidup juga singkat, oleh itu, kita haruslah menghargai setiap nikmat kebahagiaan yang diberi kepada kita. 

    Kesimpulannya, penulis ingin menegaskan bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh kita, dipengaruhi oleh peringkat umur kita. Ada masa kita akan memilih untuk menjadi aktif, ada masa kita akan memilih untuk sepi. Oleh itu, kita haruslah menikmati hidup kita di setiap peringkat umur hidup kita dan kita juga harus bijak membuat keputusan yang betul demi kesejahteraan hidup.


No comments:

Post a Comment

Apa yang telah saya pelajari.

  PERKARA YANG DIPELAJARI SEPANJANG 14 MINGGU PELAJARAN       Akhirnya ini merupakan blog terakhir saya sebagai pelajar penglahiran bakat kr...